"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanyalah kepada Allah, Tuhan sekelian alam"

Sehari sepotong ayat

"Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.. Wahai manusia! Sembahlah Tuhanmu yg telah menciptakan kamu & orang2 yg sebelum kamu, agar kamu bertakwa. Dialah yg menjadikn bumi sebagai hamparan bgmu & langit sbg atap & Dialah yg menurunkn air hujan dr langit lalu menghasilkn buah2an sbg rzki utkmu. Krn itu jgnlah kamu mengadakan prbandingan bg Allah, padahal kamu mengetahui."

(Al-Baqarah:21-22)

Terima kasih kerana sudi bersama diari ibu ini....

Friday, July 31, 2009

Mimpi yang nyata...indah...suatu muhasabah diri

Bagai mati hidup semula, tua kembali muda, tak tau perasaan nak kata apa. Rasa nak menjerit beritahu seluruh dunia, apa dia? Tak de apa, cuma gembira tak tau nak ungkap macamana, dapat bercakap dengan kawan baik lama... setelah hampir 23 tahun dijejaki tapi tidak berjumpa... seorang doktor pergigian berasal dari Banting.


Betapa besarnya hikmah ICT dunia tanpa sempadan ini, dapat menghubungkan tali silaturrahim, yang jauh didekatkan, yang dekat dirapatkan, yang putus dihubungkan. Sebelum ni dok kata maklumat di hujung jari tapi masih tak rasa apa tapi setelah diri sendiri dapat berhubung dengan kawan lama tak tau di mana, cukup terasa...

Inilah baru dirasa hikmahnya berblog ini walaupun main-main sahaja rupa-rupanya dapat berjumpa kawan lama. Entah macamana malam ni terbuka email, di antara email yang sampai adalah 2 kawan yang telah lama tidak pernah berhubung. Seorang kawan semasa belajar di universiti dan seorang lagi kawan sekolah menengah. Kesihan email mereka berhari-hari tidak dibuka... alhamdulillah nombor telefon pun ada... apa lagi terus call bertanya khabar semua termasuk kawan-kawan lama, seronoknya sehingga tak terkata...

Hati mana yang tak gembira tinggal di perantauan bila dapat berhubung dengan kawan lama yang entah di mana... Dengar cerita esok akan diadakan perjumpaan kali ke-2 di KL, sedihnya tak dapat bersama, rasa nak terbang sampai ke sana tapi apakan daya... Takpa, InsyaAllah kita akan berjumpa lagi di pertemuan akan datang. Inilah dia mimpi yang nyata...indah... hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui... seronoknya ya Allah, bila ya dapat berjumpa dengannya, rasa tak sabar diri ini...

Beginilah perasaan orang beriman untuk bertemu dengan Tuhannya. Matinya orang yang beriman, janganlah dilewat-lewatkan pengebumiannya kerana mereka tidak sabar untuk bertemu 'Kekasih' yang amat dirinduinya...

Read more...

Wednesday, July 29, 2009

JOM RAMAI-RAMAI


Tanpa kita sedari H1N1 semakin merebak tidak kira tempat dan siapa. Kita hanya mampu beriklan di televisyen2, radio dan di mana2 menasihatkan agar kita sentiasa basuh tangan dengan bersih untuk mengelakkan jangkitan penyakit ini.

Hakikatnya telah lama panduan kebersihan ini disarankan kepada kita, kenapa kita tidak mencuci tangan seterusnya berwudhu dan terus beribadah kepadaNya? Sebenarnya telah tiba masanya kita mempelajari hikmat wudhu ini yang mana masih diambil ringan kebanyakan kita. Berwudhuklah kita sentiasa dengan doa setiap basuhannya dan buatlah solat sunat wudhu bila kita berwudhu.

Allah menurunkan bencana kepada kita agar menjadi peringatan kepada kita yang telah lalai mengingatiNya. Panduan dalam hidup kita sebenarnya ada pada wajib, sunat, makruh dan haramnya. Sekiranya kita mahukan keselamatan, kesihatan dan lainnya, berusahalah kita menjadikan kehidupan kita sebagai kehidupan seorang muslim yang sejati dalam semua bidang kehidupan.

Marilah sama-sama kita berwudhu, bersolat memohon ampun dan sama-sama kita berdoa agar Allah melindungi kita semua. Bencana Allah turunkan tidak kira siapa, samada pada orang beriman ataupun tidak. Ini baru cerita tentang 1 hikmat wudhu belum yang lainnya, kita akan bincangkan kemudian setiap hikmat perbuatan yang tergolong dalam hukum sunat yang telah Allah nyatakan...

Read more...

Tuesday, July 28, 2009

NIKMAT DUNIA...

Kedah cukup mewah dengan buah-buahan, dari sekecil-kecil buah hingga sebesar-besar buah. Buah apa yang tak jumpa di tempat lain, kami jumpa di Kedah. Kebanyakan orang Kedah ada dusun sendiri kecuali orang macam kami, hijrah dari tempat lain.


Walau bagaimanapun 'penghijrah' janganla bimbang, tak perlula bersusah payah cuba mencari tanah untuk bercucuk tanam pula sebab bila tiba musim buah, dalam rumah pun jadi dusun. Sampai tak larat nak masak dan makan, orang bagi kalau tak terima orang lama-lama kata nanti tak de rezeki. So, ambil la... sampai kita pula jadi macam tuan dusun, sedekah pula pada orang lain... panjang-panjang sedekah...

Betul apa abang kami kata, kita tanam pokok yang orang lain tak tanam. Kami pun tanamla sepohon pokok anggur dan kurma di tanah berbatu di tepi rumah tu, nak tanam di dusun tak de tanah. Tak berbuah pun, dah merajuk kot sebab tuan hanya menanam tapi tak menjaga, tanah berbatu dan tak dibelai langsung... Pokok pelam, pisang dan nangka saja yang berbuah, alhamdulillah dapat juga jiran-jiran, kawan-kawan dan sanak saudara makan.

Adakah musim akan datang kami akan menikmatinya lagi? Wallahhua'lam...

Buah yang bakal digoreng...

Read more...

Sunday, July 26, 2009

Berita yang menyentuh hati

Rejab telah berlalu, Sya'aban menjelang pula tapi insan di dunia entah di mana. Entah kenapa pagi ini, diri ini rasa nak bersembang tentang 2 berita, bukan apa rasa ianya amat menyentuh hati ini iaitu berita 'Rumah Mawi dirompak, 2 ditembak mati' dan tentang 'perginya seorang pengarah bidang perfileman tanah airku'. DaripadaNya kita datang dan kepadaNya kita dikembalikan, Al-Fatihah...

Kalau tak silap perompak tersebut namanya melambangkan mereka beragama Islam iaitu Marwa dan Roni Aslah. Apa yang rasa tersentuh di hati ini ialah teringat tentang kehidupan kita di dunia ini kerana yang PALING HAMPIR dengan kita ialah KEMATIAN. Manakala yang PALING JAUH dari kita ialah MASA yang telah berlalu.

Bukan untuk menasihati sesiapa tetapi sebagai peringatan bersama kerana kita ini sering dipandu oleh yang PALING BESAR dalam diri kita iaitu HAWA NAFSU. Kita sering kalah dengan hawa nafsu yang menyebabkan kita sering terlupa dengan yang paling hampir dengan kita iaitu saat kematian yang entah bila. Kita tidak boleh menyesal tentang apa yang telah kita kerjakan di saat yang lalu dan memanggilnya kembali.

Ingatlah kita hidup di dunia hanya sementara untuk mencari bekal untuk kehidupan yang kekal selamanya nanti. Cubalah sama-sama kita menilai, muhasabah diri, adakah segala perilaku kita ini bertepatan dengan panduan dan kehendak yang telah Allah tetapkan. Sekiranya ya alhamdulillah, pertingkatkan usaha dan sekiranya tidak atau sikit-sikit je, kita perbaiki. Sya'ban bulan yang mulia ini yang dikatakan bulan Rasulullah SAW ini bakal pergi dan Ramadhan bakal kita tempuhi, di mana usaha kita untuk memenuhi segala tuntutan Allah SWT...

Saat kematian kita entah bila, entah di tempat kerja, di rumah, di jalanraya, di hospital atau di mana? Sudah bersediakah kita untuk menghadapinya? Mana bekalan kita? Berkesempatankah kita berjumpa dengan Ramadhan 1430 ini? Walau apapun marilah sama-sama kita berusaha dan berdoa agar kita pergi dalam keadaan yang baik, diterima Rasulullah SAW sebagai ummatnya, amalan kita diterima Allah SWT dan memasukkan kita di dalam golongan muslimin mukminin... InsyaAllah.

Read more...

Monday, July 20, 2009

ISRAK MIKRAJ

Hanya hamba Allah yang yakin denganNya sahaja dapat menghayati dan mengikuti pengajaran israk mikraj. Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Palestin.

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil-Haraam (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Q.S. Al-Israa’: 1).

Manakala Mikraj pula merujuk kepada perjalanan baginda SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh, dekat singgahsana Allah SWT.
“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi di sisi “Sidratul-Muntaha”; yang di sisinya terletak syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa “Sidratul-Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya.”
(Q.S. An-Najm: 13-18).

Antara beberapa pengajaran israk mikraj ialah:

1. Manusia harus sentiasa mengadakan hubungan dengan Allah, baik di kala ditimpa kesusahan mahupun di kala mendapat kesenangan. Ini kerana hanya Allah yang berkuasa memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan pada diri manusia. Sebagaimana yang diceritakan, Nabi telah ditimpa beberapa musibah sebelum terjadi Israk Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk Mikraj, iaitu untuk berhadapan dengan Allah SWT. Ini memberi pengajaran kepada kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan pelbagai permasalahan dalam kehidupan. Apatah lagi ketika kita berada dalam kegembiraan, seharusnya semakin hampir lagi kita denganNya. Caranya ialah dengan melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya di samping terus meningkatkan ketakwaan dan amal ibadat.

2. Menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa Israk Mikraj, tepatnya sewaktu Nabi diajak meninjau keadaan neraka, baginda ditunjukkan berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum sebagai akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan. Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali bertaut seperti sediakala. Nabi juga melihat bentuk penyeksaan yang lain seperti seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi. Ini semua memberi iktibar supaya kita yang hidup di dunia ini tidak melakukan segala perbuatan tercela itu dan juga pekerjaan lain yang jelas dilarang Allah kerana begitulah seksaan yang bakal diterima oleh seseorang di akhirat nanti sekiranya perbuatan yang dilarang Allah itu dilakukan.

3. Perintah solat sebagai suatu bentuk ibadah yang Allah sendiri menggariskan ketentuan mengenainya. Kewajipan solat berbeza dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini adalah kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak. Dengan solat, kita berpeluang untuk berdialog langsung dengan Allah, iaitu ketika bersolat.

4. Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia. Ini kerana sewaktu Israk Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Nabi akan keagungan dan berbagai keajaiban ciptaan-Nya yang terdapat di alam tinggi bernama langit itu seperti Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain lagi.

5. Anjuran memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul yang baginda temui. Ini mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam sebagai tanda penghormatan dan untuk mengeratkan hubungan.

6. Mengingatkan usia dunia yang sudah tua yang mana dibayangkan melalui pertemuan Nabi dengan seorang nenek tua. Ia memberi gambaran kepada kita yang umur dunia sudah lanjut dan hampir berlaku kiamat. Hakikat ini memperingatkan setiap Muslim bahawa segala kemewahan dan kesenangan dunia hanyalah bersifat sementara. Hanya ketakwaan dan amal salih menjadi bekalan untuk ke akhirat.

7. Berwaspada dengan rayuan dan tipu daya iblis, di mana sewaktu Israk, pada awal perjalanan lagi jin ‘Afrit telah mengejar baginda dengan membawa obor untuk menghalang perjalanan Nabi dan berusaha memperdayakan baginda. Peristiwa ini memperingatkan kita bahawa syaitan dan iblis tidak akan jemu-jemu untuk menyesat dan memperdayakan umat manusia dengan pelbagai cara.

Read more...

Hari-hari yang berlalu

Khamislah hari yang tak kenal erti duduk buatku sebagai ibu tinggal. Dari dapur, dalam rumah, urusan persekolah anak dan juga urusan kerja perlu dibereskan sebelum matahari terbenam...

Khamis baru ni selesai kerja wajib seperti di atas, jam 6.30 bersama 2 anak dan 3 sahabat bertolak ke Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, 3 anak lain tinggal di rumah. Jam 4 subuh menanti kepulangan suami di Gurun, rupa-rupanya dia tertidur dalam bas dan terlajak hingga ke Alor Star. So, naik teksi la dia untuk sampai ke rumah, maka kami pun berqiamullail, beriadah, berendam dalam air panas di sana dan tak jadi la pulang pagi Jumaat, pulang pada petangnya dan tiba di rumah jam 7.oo petang.
Dalam kepenatan baru tiba, tup tup anak sedara dari Selangor call nak singgah rumah dengan kawannya. Maaf la nak, tak larat dah nak masak, surrender, beli je la makanan di kedai kawan tu...

Sabtu, urusan tuisyen anak, hantar anak ke asrama, hantar suami ke stesyen bas. Pagi Ahad lepas hantar Fawwaz ke tadika, hantar anak Khairul ke stesyen bas, menguruskan bil-bil dan ke tempat kerja. Petang Ahad, ambil anak di asrama, malam zzz tak sedar diri... Alhamdulillah Allah bagi rehat juga... Hari ni cuti menghayati peristiwa isra' mi'raj.

Read more...

Tuesday, July 14, 2009

RAGUT-risaunya


Pagi Isnin, 13 Julai seorang jiran kami, Doktor Klinik Pergigian Daerah diragut oleh 2 orang yang tidak dikenali di hadapan rumahnya. Peristiwa ini berlaku ketika mangsa pulang dari bank mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk ditukarkan ke bank lain. Mangsa pulang sebentar dan ketika ingin memasuki pagar rumahnya, dengan pantas beliau diragut dengan membawa kesemua wang yang dikeluarkan sebentar tadi.
Walaupun mangsa menjerit meminta bantuan tetapi dengan sekelip mata sahaja peragut hilang dari pandangan mata dan jiran tidak dapat mengekori mereka. Apa yang menjadi kehairanan ialah bagaimana peragut tersebut boleh mengetahui wang sebanyak itu dikeluarkan oleh mangsa. Suatu persoalan yang menjadi tanda tanya ramai orang, adakah peragut mendapat maklumat dari dalam??? Wallahhu'alam, kita serahkan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk menyiasatnya.
Dimanakah tempat yang selamat untuk semua rakyat? Kepada siapa rakyat boleh percaya dan mengharap? Kerisauan penduduk semakin menjadi. Seharusnya jawatankuasa dan penduduk berbincanglah bagaimana untuk mengatasi permasalahan ini untuk membantu pihak berkuasa.

Read more...

Terkenang semasa dulu

Petang semalam, orang Kedah kata kelmarin, sehingga malam tak boleh buat apa-apa, buntu idea kerana bekalan elektrik terputus seluruh Jitra, tak bolehla buat liputan tentang macam-macam cerita tu. Tapi tak pe lepas ni kami cerita sikit-sikit je, mungkin dalam blog smkpn je. Last-last apa yang kami buat sekadar menatap Quran dan Fawwaz pun sama, dudukla mengelilingi lampu bekalan sahaja.

Apabila mengelilingi lampu ni terkenang semasa dulu, hidup bersama ayah dan ibu. Ketika itu tiada bekalan elektrik maupun air paip. Di waktu malam, buat kerja apa pun samada mengaji, buat kerja sekolah atau sebagainya, semua adik beradik akan mengelilingi lampu minyak tanah sehinggalah ada yang tertidur di situ. Tanpa disedari kadang-kadang tercium bau terbakar, rupa-rupanya adala di antara kami tu rambutnya terkena lampu. Arwah makla yang mengejutkan kami untuk masuk tidur ke dalam kelambu.
Apa yang bestnya, bangun pagi mandi ke sekolah, tempat utama yang perlu dicuci ialah lubang hidung yang telah gelap. Kalau tak cuci sampai sekolah, malu kawan-kawan gelakkan. Selepas itu ok sikit, guna lampu gaslin, barula lubang hidung tak hitam. Ketika itu mana ada kipas, econ jauh sekali, semuanya angin semulajadi ciptaan Allah. Angin boleh masuk rumah dari pelbagai sudut, bestnya... rasa nak berpatah balik ke zaman tu. Sekarang ni, lampu minyak tanah dan gaslin menjadi perhiasan, khazanah pameran dan semasa malam tujuh likur oleh sesetengah golongan masyarakat.
Berbeza sekali dengan kehidupan kini, anak-anak hidup dengan kipas dan econ. Angin ciptaan Allah yang bersih tidak dapat masuk ke rumah dek kerana rapatnya rumah, tiada lubang, tiada tempat boleh ditembusi. Sebab itulah penyakit semakin menjadi-jadi, macam-macam jenis menyerang tak kira usia.

Read more...

Monday, July 13, 2009

Menang Cabutan Bertuah

Sampai je sekolah, jumpa kawan-kawan ucap "TAHNIAH". "Tahniah apa?", bertanya balas dengan rasa penuh debaran. Bermacam-macam terfikir dalam kepala, dapat apa lagi? Dapat durian runtuh ke, memang musim durian pun, tiap hari ada saja yang pelawa durian, cuma diri ni je yang 'berpantang', makan ala kadar je. Bukan apa, umur lingkungan sekarang kena berhati-hati, mengelak sebelum kena, cegah lebih baik dari mengubati. Ramai kawan-kawan yang dah kena kencing manis. Kalau dah kena makan apa pun susah sebab teringat kita makan sekadar untuk hidup, bukan hidup untuk makan.

Ops, berbalik kepada tahniah tadi, sesampai di meja rupanya terletak elok surat jemputan ke Majlis Mesra Rakyat Bersama PM... Ohh, betapa malangnya nombor bertuah hari ini, program tersebut akan diadakan pada petang ini jam 3 petang di Dewan Wawasan Kubang Pasu. Dan ada juga rakan-rakan yang berkata "Hai, tak cukup tarbiyyah lagi la tu..." "He he" Kami sekadar boleh tersenyum sahaja...Kami akan ke sana bersama PK-PK, GK-GK dan beberapa rakan lain yang bertuah nasib malangnya...Untuk berita selanjutnya liputan pada malam ini, InsyaAllah.

Esok, InsyaAllah jika bertuah, tidak ada masalah, tidak hujan kami akan bersantai di dusun Cikgu Aswadi beramai-ramai dan bersarapan di sana. Dah siap atur, ada yang ditugaskan bawa pulut santan, sambal, ikan bilis goreng, ayam goreng, timun, dan lain-lain lagi. Diri ini ditugaskan membawa nasi dan air teh saja... Sekali sekala nak bersantai beramai-ramai... Jom, jumpa di sana, Dusun Hosba... Janganla hujan... sekarang musim hujan...

Read more...

Sunday, July 12, 2009

Tugas mingguan

Selasa dan Rabu, Fawwaz demam.

Khamis mesyuarat, ambil anak dan mendobi waktu malam sebab Jumaat sehari suntuk dengan pemantauan Kursus Profesionalisma Perguruan.


Sabtu pula menguruskan Hafiz ke seminar, pemantauan program adik-adik nisa', persiapan anak-anak ke asrama dan menghantar mereka ke asrama. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

Read more...

Thursday, July 9, 2009

Mangsa PPSMI


Siapa mangsa PPSMI? Walau apa pun keputusan yang dibuat pastinya anak-anak kita yang menjadi mangsa. Guru sekadar penyampai ilmu, apa yang pasti guru mengajar mengikut tahap pelajar. Tahun 2012 bahasa ibunda digunapakai, 2 tahun ni pandai-pandai la cikgu-cikgu ya...

Masakan boleh guru mengajar menggunakan bahasa yang tidak boleh difahami oleh anak pelajarnya. Mudah cerita, bayangkanlah jika kita sedang berkomunikasi dengan orang, pendengar tidak memahami apa yang kita tuturkan dan beralih muka tidak memandang kita. Apakah tindakan kita waktu itu? Macam-macam tindakan yang boleh terjadi...

Apa yang penting kini, guru harus ingat bahawa ilmu yang disampaikan bukanlah niat kita semata-mata untuk pelajar menghadapi peperiksaan bahkan lebih dari itu yakni menuntut ilmu sehingga boleh kerana ia adalah kewajipan ummat Islam menuntut ilmu. Oleh itu guru, ajarlah pelajar sehingga boleh, buatlah dengan apa cara sekalipun.

Janganlah kita bimbang dengan manusia penilai kita di dunia ini tetapi kita harus yakin dengan Penilai yang sebenarnya yang akan menyoal kita apa yang kita buat dan tidak menyoal apa hasilmu. Usaha dan tawakkallah kita semua kerana kita hanya insan biasa, suara tidak berbisa seperti orang lain di luar sana...

Read more...

Wednesday, July 8, 2009

RINDU ANAK

Soalan-soalan yang sering keluar dari mulut Fawwaz sehinggalah tertidur, "Bila abah nak balik?"... "Lamanya abah pergi kerja"... Berkali-kali telah diterangkan tapi masih bertanya lagi... Sehingga nak stop h-set pun tak boleh...

Macam nilah rupanya bagaimana keadaan anak-anak yang berjauhan dengan ibu dan ayah. Apatah lagi pada anak-anak yatim piatu yang ibu dan ayah tak kan kembali lagi ke dunia ini. Rupa-rupanya beginilah perasaan dan isi hati mereka yang kerinduan yang masih tidak mengenal erti kehidupan...

Bagaimana pula pada anak-anak yang ibu bapa berpisah hidup ini? Hancur harapan mereka, di mana tempat mereka ingin bergantung? Masaalah inilah yang paling banyak berlaku dalam masyarakat kita, yang menjadi permasalahan anak-anak sekolah terutamanya anak-anak Melayu yang sering mengatakan mereka orang Islam...

Kebanyakan mereka tidak dapat membawa diri sehingga menimbulkan permasalahan di sekolah yang sukar dibendung oleh para guru jika tanpa bantuan masyarakat. Setiap hari guru disiplin, kaunselor dan lainnya terpaksa mengharungi permasalahan ini dan ada kalanya terlepas dek tangan untuk menarik mereka dari terjerumus ke alam... pelbagai alam...samada remaja perempuan maupun lelaki... Wallahhua'lam...
,./?><~!@#$%^&*()_+ Permasaalahan yang berserabut sukar untuk dirungkaikan... Ya Allah, Kami hanya mampu berusaha, Hanya padaMU kami berserah...

Read more...

Gelagat Fawwaz

"Ibu, cepatla ambik gambar Fawwaz ni, boh dalam blog. Nak tunjuk kat abah Fawwaz makan ubat ni..."

"Fawwaz dah nak sihat ni..."

Kerenah yang terpaksa dituruti. Alhamdulillah, lega rasa hati, panas dah berkurangan. Pengasuh kata, "Demam rindu ni..., ambik kain abah, bawa tidur..."

Entahla...Wallahhua'lam...

Read more...

Monday, July 6, 2009

Alamak...

Alamak...anak ibu demam ke? Risaunya ibu... Kenapa ibu bimbang? Kalau Fawwaz demam, lama...Fawwaz susah makan ubat...ibu terpaksa usaha cara lain, macam-macam ilmu terpaksa digunakan kalau Fawwaz demam supaya jangan jadi apa-apa.

Read more...

PROGRAM SEKOLAH

Macam-macam cerita di sekolah, rasa penat juga. Urus itu dan ini, nak tau antara ceritanya masukla ke blog smkpn.

Read more...

Saturday, July 4, 2009

Musim berjumpa kawan lama

Seronok rupanya jumpa kawan-kawan lama ni. Masa ke Terengganu baru ni ziarah 2 rumah sahabat lama, seorang guru cemerlang fizik sebuah sekolah di Kuala Terengganu dan seorang doktor biokimia di UMT.

Baru-baru ni jumpa pula sahabat lama doktor kaunseling di UUM, tak jauh tapi bertahun tak pernah jumpa. Jumpa sekejap pun telah memadai kerana masing-masing ada urusan...

Read more...

Friday, July 3, 2009

Tugasan Pertama

Selepas mendaftarkan diri di Pejabat Pendaftar UMT dan bertemu beberapa pegawai pendaftar pada 1 Julai 2009, tugasan pertama yang diterima oleh cek abang ialah menghadiri Majlis Ikrar Pelajar Baru Sesi 2009/2010.

Majlis ini juga adalah merupakan majlis berkenalan pelajar baru bersama pihak pentadbir UMT. So, TNC terima KP baru dan pelajar baru...

Read more...

Wednesday, July 1, 2009

SELAMAT BERTUGAS

Selamat Bertugas di tempat baru. Semoga dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Moga Allah memberkati segala usaha. Sesungguhnya Allah menyaksikan apa yang kita lakukan.

Read more...

~

Share |

Ingin menambah rezeki dgn Program Kebajikan? SILA KLIK

Mengaut Keuntungan Lumayan Daripada Tuisyen Secara Sambilan/Sepenuh Masa.

Blog Widget by LinkWithin

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP